KEMPEN BOIKOT ZIONIS


| View Show | Create Your Own

Sunday, June 10, 2007,2:37 PM
SANGGAHAN TERHADAP KENYATAAN DATO' DR. MASHITAH IBRAHIM.

Semalam ana ada terbaca, dalam soal jawab agama bersama Dato' Dr Mashitah Ibrahim yang di siarkan dalam Harian Metro bertarikh 9 Jun 2007 hari Sabtu iaitu berkaitan hukum bagi seseorang yang bekerja di sebuah hotel dan dia terpaksa membawa minuman keras kepada pelanggan hotel tersebut. Dalam jawapan yang dikemukakan oleh Dr. Mashitah, beliau ada menyebut sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan arak. Apa yang mendatangkan kehairanan bagi ana, beliau menyebut ada enam sahaja golongan yang dilaknat Allah terhadap pengharaman arak.

Namun jika diteliti pada matan asal hadis tersebut
"Rasulullah. s.a.w menyebut Allah melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak : (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Melihat akan keadaan ini, ana teringat kisah pendeta-pendeta yahudi yang cuba menyembunyikan kebenaran yang terdapat dalam kitab-kitab mereka. Adakah beliau pun ingin mengikut jejak golongan pendeta-pendeta ini ?

Beliau juga turut menghukumkan bahawa diberi kelonggaran seandainya sukar untuk mendapat pekerjaan halal yang lain. Beliau juga turut menggunakan kaedah fiqhiyyah iaitu "Apabila bertentangan di antara dua kerosakkan hendaklah dilakukan kerosakan yang lebih ringan".

Dalam permasalahan ini, kaedah yang didatangkan boleh diterima, tetapi situasi yang dihadapi oleh orang yang bertanya bukanlah dalam keadaan darurat. Jumhur ulama bersepakat mengatakan bahawa darurat yang dihadapi itu secara terang-terangan haram berdasarkan nas dari al-Quran dan hadis, maka tidak harus melainkan ia dalam keadaan darurat.

Apa yang dapat diperhatikan di sini, beliau seolah-olah tidak berani menyatakan bahawa hukum pekerjaaan tersebut adalah haram. Lebih kesal lagi, beliau menyatakan Dr. Yusuf al-Qardhawi turut menggunakan kaedah ini dan cuba mengheret Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kenyataan beliau yang mengelirukan itu.

Jika dinilai sebelum ini, telah banyak kenyataan Dr. Mashitah yang menyimpang dan mengelirukan. Antara yang hangat diperbincangkan ialah ketika beliau menghukumkan bahawa diberi kelonggaran kepada seorang ibu tunggal yang terpaksa melacurkan dirinya kerana terdesak dalam mencari nafkah untuk anak-anak. Manakala yang paling teruk sekali, beliau mengeluarkan kenyataan dengan mempersendakan hukuman hudud. Nau'zubillah…!!!!

Kesimpulanya, ana menyeru diri ana dan mereka yang membuat soal jawab tentang permasalahan agama supaya berhati-hati dengan kenyataan ataupun hukum yang dikeluarkan. Kemungkinan kenyataan atau hukum yang dikeluarkan akan mengelirukan akan merosakkan pegangan umat Islam. Seperkara lagi, janganlah kita menjadi ulama su' ataupun ulama periuk nasi yang menjadi perosak kepada Islam sendiri. Firman Allah s.w.t :-

"Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir." ( al-A'raf – 176 )

Ingatlah, bahawa musuh-musuh Islam berusaha untuk menjahanamkan Islam dengan menjadikan ulama-ulama seperti ini sebagai agen-agen mereka. Sesungguhnya ulama-ulama yang berfikrah sebegini amat membahayakan masa depan umat Islam dan Islam itu sendiri. Wallahu'alam
 
posted by Abdul Hakim Mat
Permalink ¤ 0 comments